MBPP | HOME



 
   
  Bantahan Notis Taksiran
 

Seseorang yang tidak berpuas hati dengan Nilai Tahunan boleh membuat bantahan secara bersurat atau melalui web tidak lewat dari tarikh yang ditetapkan dalam notis taksiran . Bantahan tersebut hendaklah berasaskan kepada perkara berikut sahaja iaitu:

  1. harta yang dikenakan cukai adalah dinilai lebih tinggi dari yang sepatutnya.
  2. harta tersebut adalah jenis harta yang tidak boleh dikenakan cukai iaitu bersifat kegunaan awam dan tidak bermotifkan keuntungan.
  3. Contohnya :- masjid, sekolah awam dan sebagainya.

  4. harta tersebut sepatutnya dikenakan cukai tetapi telah tidak dinilaikan.
  5. harta tersebut telah dinilai kurang dari yang sepatutnya.
  6. harta yang dinilai secara bersama atau berasingan sepatutnya dinilai secara lain.

TOP
  Tatacara Mesyuarat Bantahan Cukai Taksiran
 

Mesyuarat Bantahan adalah untuk mendengar, meneliti dan menimbang segala bantahan yang dibuat oleh seseorang atau mana-mana pihak yang tidak berpuashati atas notis taksiran yang dikenakan ke atas harta mereka. Alasan bantahan mestilah berlandaskan kepada asas-asas yang dinyatakan para di atas.

Pembantah hendaklah hadir di dalam mesyuarat tersebut atau mewakilkan kepada wakil mereka dengan memberi surat kebenaran wakil.

  Jawatankuasa Bantahan Cukai Taksiran
 

Bantahan yang dikemukakan oleh pembantah akan didengar oleh Jawatankuasa Bantahan Cukai. Jawatankuasa Bantahan Cukai ini terdiri dari ahli-ahli majlis MBPP. Peranan mereka adalah untuk mendengar, meneliti, menyiasat dan menimbang segala bantahan yang dikemukakan.

TOP
  Bantahan Terhadap Keputusan Cukai Taksiran
 

Sekiranya seseorang individu telah membuat bantahan cukai taksiran dan masih tidak berpuas hati dengan keputusan majlis, mereka boleh membuat bantahan kepada mahkamah tinggi dengan cara usul permulaan. Usul permulaan ini hendaklah dibuat dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan keputusan cukai taksiran dan jumlah cukai taksiran yang diputuskan oleh majlis telah dijelaskan.

TOP
  Kaedah Bantahan
 

Pemilik premis yang tidak berpuashati dengan Nilai Tahunan (NT) yang dikenakan dalam Senarai Nilaian Baru 2020 boleh membuat bantahan sama ada menerusi :

  1. Surat (dihantar ke Jabatan Penilaian & Pengurusan Harta, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Paras 12 KOMTAR, Jalan Penang, 10675 George Town, Pulau Pinang)
  2. Emel (epenilaian@mbpp.gov.my) atau
  3. Web bantahan (http://smartmonitoring.mbpp.gov.my/Internetbantahanps/)

Semua bantahan perlu dihantar ke Jabatan Penilaian & Pengurusan Harta, Majlis Bandaraya Pulau Pinang sebelum atau pada 14 Oktober 2019 (Tarikh Akhir Bantahan)

TOP
  Soalan-Soalan lazim (Frequently Asked Questions - FAQ)
 

1. Bagaimanakah pengiraan Cukai Taksiran?

Jawapan

Contoh penggiraan cukai taksiran seperti berikut :

  1. Bangunan (Kediaman Bertanah)
  2. Sewa sebulan             =     RM 500.00
    Sewa setahun RM500.00 x 12 bulan  =            RM6,000.00
    Nilai Tahunan (sewa setahun)      =     RM6,000.00
    Darab kadar peratusan baru       =     6%
    Cukai Taksiran Setahun       =     RM360.00

  3. Tanah (Tanah Kemajuan DTL)
  4. Luas kawasan tanah kosong      =     5,000 k.p.
    Harga pasaran sekaki persegi     =     RM100.00 s.k.p
    Harga tanah keseluruhan        =     RM500,000.00
    Kadar yang menentukan Nilai Tahunan   =            5%
    Nilai Tahunan Tanah          =     RM25,000.00
    Darab kadar peratusan baru       =     4%
    Cukai Taksiran Setahun        =     RM1,000.00

2. Apakah maksud Nilai Tahunan ?

Jawapan

Istilah Nilai Tahunan ditakrifkan di dalam Seksyen 2, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) iaitu "anggaran kasar sewa tahunan yang munasabah dijangka akan diperolehi dari setahun ke setahun daripada pegangan berkenaan jika disewakan, dengan tuan tanah membayar belanja bagi pembaikan, insuran, penyelenggaraan atau pemeliharaan dan segala kadar dan cukai awam".

Oleh itu, Nilai Tahunan mencerminkan nilai sewa harta dengan anggapan ianya diberi sewa mengikut syarat-syarat yang ditetapkan. Di atas sebab-sebab tertentu, sewa yang dibayar untuk unit-unit rumah yang serupa di dalam kawasan yang sama selalunya berbeza kadar sewa yang disebabkan oleh beberapa faktor yang mempengaruhinya seperti terdapat pengubahsuaian, kedudukan unit dan keluasan/saiz premis. Bagi memastikan terdapat kesaksamaan di dalam penentuan nilaian, standard atau asas yang sama digunakan bagi setiap harta pegangan.

3. Apakah faktor-faktor penting dalam penentuan Nilai Tahunan sesuatu harta?

Jawapan

Faktor-faktor yang menjadi penentu Nilai Tahunan sesuatu harta tanah adalah Sewa Pasaran. Faktor-faktor yang mempengaruhi nilai sewaan harta tanah adalah seperti faktor masa, lokasi, kedudukan, kegunaan, keluasan tanah/bangunan, kemudahan persekitaran, kemudahsampaian dan lain-lain faktor yang terlibat.

4. Adakah kadar peratusan boleh dipinda atau dikurangkan?

Jawapan

Tidak. Kadar peratusan telah ditetapkan dengan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan ianya tidak boleh dipinda. Pembantah hanya boleh membuat bantahan terhadap Nilai Tahunan sahaja dan tidak harus dikaitkan bantahannya dengan jumlah kadar peratus.

5. Mengapakah semakan semula Nilai Tahunan (NT) dalam Senarai Nilaian Baru 2020 perlu dilaksanakan?

Jawapan

  1. Di bawah Seksyen 137(3), Akta Kerajaan Tempatan 1976, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dikehendaki menyedia dan menyiapkan sesuatu Senarai Nilaian baru sekali tiap-tiap lima tahun atau dalam tempoh yang dilanjutkan sebagaimana ditentukan oleh Pihak Berkuasa Negeri.
  2. Senarai Nilaian sedia ada yang diterima pakai adalah 1 Januari 2005 (dan telah diguna pakai selama 15 tahun kini dan akan tamat tempohnya 31 Disember 2019.
  3. MBPP telah menanggung peningkatan kos perbelanjaan bagi pengurusan keseluruhan sebanyak 291% kenaikan berbanding tahun 2005

6. Adakah semua bantahan yang dihantar oleh pembantah akan dipertimbangkan?

Jawapan

Merujuk kepada Seksyen 142, Akta Kerajaan Tempatan 1976 telah menyenaraikan alasan-alasan yang dipertimbangkan seperti berikut:

  1. Sesuatu pegangan dikenakan kadar yang dinilai lebih dari nilai yang sepatutnya;
  2. Sesuatu pegangan yang dinilai adalah pegangan yang tidak boleh dikenakan kadar;
  3. Seseorang atau sesuatu pegangan yang sepatutnya termasuk dalam Senarai Nilaian adalah ditinggalkan;
  4. Sesuatu pegangan dinilai kurang daripada nilainya yang boleh dikenakan kadar; atau
  5. Sesuatu pegangan atau pegangan-pegangan yang dinilai secara bersama atau berasingan sepatutnya dinilai secara lain.

7. Sekiranya sesuatu premis diduduki sendiri dan bukannya untuk disewakan, adakah Cukai Taksiran boleh dikurangkan?

Jawapan

Tidak. Cukai Taksiran tetap dikenakan seperti pegangan lain yang diandaikan sekiranya premis tersebut disewakan.

8. Adakah bantahan oleh pemilik premis boleh diwakilkan kepada agen atau Perbadanan Pengurusan?

Jawapan

Merujuk kepada Seksyen 142(2), Akta Kerajaan Tempatan 1976 iaitu "Segala bantahan hendaklah disiasat dan mereka yang membuatnya hendaklah diberi peluang untuk didengar dalam penyiasatan itu sama ada mereka sendiri atau melalui agen yang diberi kuasa".

Sekiranya Agen atau Perbadanan Pengurusan berhasrat untuk mewakilkan pemilik-pemilik premis di sesuatu harta tanah strata, maka Agen atau Perbadanan Pengurusan tersebut dikehendaki mendapat maklumat-maklumat lengkap berikut :

  1. Surat wakil kuasa setiap unit premis dengan tanda tangan pemilik yang sah; dan
  2. Nama penuh pemilik, no. kad pengenalan pemilik, alamat premis dan No. AUID/ No. Akaun Cukai Taksiran setiap premis terlibat;

Semua maklumat-maklumat ini perlu dikepilkan bersama-sama dengan surat dari Agen atau Perbadanan Pengurusan tersebut dan dihantar ke Jabatan Penilaian & Pengurusan Harta, Majlis Bandaraya Pulau Pinang sebelum atau pada 14 Oktober 2019 (Tarikh Akhir Bantahan)

9. Bagaimanakah kaedah bantahan dapat dibuat oleh pemilik premis, sekiranya notis yang diterima hanya memaparkan Pengguna ID sahaja tanpa dibekalkan dengan Kata Laluan?

Jawapan

Berdasarkan semakan rekod keseluruhan notis yang dihantar kepada pemilik, dianggarkan sebanyak 10% notis dihantar tanpa dibekalkan dengan Kata Laluan disebabkan oleh masalah teknikal. Oleh demikian, pemilik premis boleh mendapatkan Kata Laluan tersebut menerusi kaedah berikut :

  1. Telefon (04-2592266);
  2. Sesi Live Chat Online menerusi web MBPP; atau
  3. Emel (epenilaian@mbpp.gov.my)

Sebagai langkah keselamatan data, pemilik premis dikehendaki menyatakan 4 maklumat berikut iaitu :

  1. Nama Penuh pemilik;
  2. No. Kad pengenalan;
  3. Alamat premis; dan
  4. No. Pengguna ID.

10. Adakah notis yang diterima oleh pemilik premis merupakan bil yang perlu dijelaskan bayaran cukai taksiran?

Jawapan

Tidak. Notis RAC 4 (Reval 2020) yang dihantar kepada setiap pemilik premis merupakan makluman Nilai Tahunan baru dan jumlah Cukai Taksiran baru berkuatkuasa pada 1 Januari 2020 dan bukannya bil cukai taksiran untuk tujuan bayaran.

TOP

11. Adakah pembantah diwajibkan hadir ke Mesyuarat Bantahan Cukai Taksiran bagi mendengar bantahan yang telah dibuat?

Jawapan

Sekiranya pembantah/wakil tidak dapat hadir pada Mesyuarat Bantahan Cukai Taksiran mengikut tarikh yang ditetapkan, bantahan yang telah dihantar akan tetap dibentangkan di dalam mesyuarat tersebut dan akan dimaklumkan keputusannya.

TOP
   
©Hakcipta Terpelihara, Majlis Bandaraya Pulau Pinang 2019.